Foto 1. Perairan Bohey Dulang(Air Dulang) dari Kemuncak
Semporna sememangnya begitu terkenal dengan keindahan panorama lautnya. Siapa pun yang balik dari apa-apa aktiviti di daerah ini pasti akan kembali lagi pada suatu hari kelak.
Alhamdulilah akhirnya berjaya juga Trip Outing Siri 2 yang berlangsung bermula dari 12 Nov-15 Nov 2012. Bermula dari tanggal 12 Nov pergerakan rakan-rakan bermula dari Kota Kinabalu, ada yang menaiki kenderaan sendiri dan ada juga yang menaiki bas dengan masa perjalanan hampir 12 jam. Perasaan begitu berkobar-kobar bagi rakan-rakan Geng Photographer yang buat kali pertama mengikuti outing ini, mana kan tidak, melihat dari jendela hotel Seafest sahaja, perasaan begitu teruja dengan keindahan laut Semporna dan turut kelihatan dari kejauhan kemuncak Pulau Bohey Dulang.
Foto 2. Kemuncak Bohey Dulang
Seawal jam 3.50 pagi kami telah pun bersiap sedia untuk memulakan perjalanan dengan menaiki bot Kembara Pulau dan menuju ke Pulau Maiga sebagai destinasi pertama untuk merakam panorama matahari terbit di sebalik kemuncak Pulau Bohey Dulang. Nasib begitu menyebelahi kami, kerana pada pagi tersebut cuaca amat baik dan kami tak melepaskan peluang untuk merakam sebaik yang mungkin panorama menjelang golden hour.
Foto 3. Mentari Pagi di Pulau Maiga
Sebaik sahaja tugasan pertama selesai, kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya iaitu Pulau Bodgaya, namun cuaca tidak begitu baik, kerana ketika kami tiba di perairan pulau tersebut langit kelihatan mendung. Sebagai tips kepada rakan-rakan fotografer yang hendak berkunjung ke daerah Semporna, cuaca di daerah ini begitu pantas bertukar-tukar. Sekejap mendung, sekejap hujan dan cerah. Namun kami tidak berputus asa, perjalanan diteruskan lagi ke destinasi ketiga iaitu misi menawan kemuncak Bohey Dulang.
Foto 4. Rakan-rakan Geng Photographer menuju ke Pulau Bodgaya
Destinasi ketiga ini begitu mencabar dan mengundang risiko. Setiap pengunjung ataupun fotografer wajib mendaki bukit yang cerun dan licin. Masa yang diperlukan ialah kira-kira 40 hingga 50 minit dan bergantung kepada kecergasan kalian. Meskipun letih membawa bebanan kelengkapan kamera namun hati kami begitu berdebar-debar menantikan saat manis tiba dikemuncak dan merakamkan sebaik mungkin panorama perairan Bohey Dulang. Dan dari sejarah namanyapun telah memberi maksud Bohey Dulang sebagai Air Dulang. Jadi tugasan sukar yang perlu dilaksanakan oleh para fotografer ialah merakam panorama lautan sehingga terbentuk seolah-olah sebuah dulang besar kelihatan depan mata. Dan ini telah dapat dirakamkan dengan perbincangan dan kerjasama yang ada di kalangan Geng Photographer. Akhir kata pengalaman merakam panorama indah dari kemuncak Bohey Dulang begitu menyeronokan dan pasti kalian akan habis ruangan memori kad sehingga 8gb atau lebih....sampai jumpa lagi pada siri laporan Bodgaya....
Foto 5. Geng Photographer Kemuncak Bohey Dulang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan